KISAH PEMUDA YANG BERIBU BAPAKAN BABI
~ BismillahirRahmaanirRahmaanirRahiim ~
Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina.
Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan
Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu
juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun
menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat
tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari
Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.
Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa
ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di
situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi
salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan
rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan
melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat.
Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik
dalam hatinya penuh kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan
dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium
kemudian dihantar semula ke dalam bilik.
Tidak lama kemudian
dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih
besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga
kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu
kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah
dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama
Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu
membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai
tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa
kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah
telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya.
Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah.
Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak.
Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan
hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap
melaksanakan tugasku.", sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah
agar mereka diampunkan.
Aku bermohon supaya Allah menukarkan
wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum
memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah
menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang
akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat
tinggi kepada kedua ibubapanya.
Ibubapanya yang sudah buruk
dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya
sebagai anak soleh disisi Kami." Allah juga berfirman lagi yang
bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh
disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya
yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam
syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat
menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga.
Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya.
Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi.
Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan
urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan
urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T. Doa anak yang soleh akan
membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah
yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti
sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang
ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan
doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi
Allah SWT.
No comments:
Post a Comment